Monday, May 22, 2023

PENGALAMAN IVF

Memiliki anak adalah impian bagi setiap pasangan yang berumah tangga. Bukan sahaja pasangan tersebut malahan keluarga bagi kedua-dua belah pihak. Buat diri ini, sebagai anak sulung dan suamiku sebagai anak tunggal dalam keluarga, kehadiran permata kecil sangatlah diharapkan dan dinanti-nantikan. Pada tahun ini (2023), genaplah 12 tahun usia perkahwinan kami. Walaupun belum memiliki zuriat, aku sentiasa bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Tuhan yang Maha Esa ke atas diriku dan keluarga. 


Segalanya bermula pada  Mac 2022. Aku menonton Pertandingan Anugerah Juara Lagu. Pada tahun itu juara lagu disandang oleh kumpulan SOG bersama Shiela Amzah dengan lagu mereka yang bertajuk  'Pelukan Angkasa'. Fazleena Hishamuddin iaitu penulis lirik lagu ini telah memberikan ucapan yang sangat menyentuh hati semasa mereka dinobatkan sebagai juara. " Muzik, walaupun underground atau arus perdana sentiasa boleh diraikan oleh semua jenis manusia." " Ini untuk anak-anak indie!". Beliau menjerit sambil menjulang trofi kemenangan mereka. Aku sangat terharu dan terkesima dengan ucapan beliau.


Seperti biasa mode stalker pun bermula. Aku terus mencari instagram beliau dan meneliti satu persatu bingkisan beliau dalam media sosial. Bait-bait kata yang menyentuh hati dan mensyukuri setiap nikmat Ilahi. Sehinggalah aku bertemu dengan bingkisan beliau tentang anaknya, Kesuma Hati. Beliau juga menceritakan tentang Klinik Sophea Fertility serta doktor yang beliau jumpa iaitu Dr. Norazlin. Dua tiga hari aku meneliti tulisan beliau dalam media sosial serta telatah anaknya. Kata-kata yang didedikasikan buat anaknya menyentuh  hingga ke dasar hatiku. 


Sebenarnya, dua tahun lepas suamiku telah menyatakan hasratnya untuk membuat rawatan kesuburan. Namun pada waktu itu aku belum cukup bersedia mental dan fizikal. Tapi kali ini, aku sendiri yang menyatakan hasratku dengan syarat aku hendak ke klinik di mana Fazleena Hishamudin buat rawatan dan aku harap juga dapat dirawat oleh doktor yang sama. Suamiku sangat gembira dengan keputusanku.

" Ayang pilihlah klinik mana yang ayang nak. Abang akan usahakan."

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

MAKA BERMULALAH PERJALANANKU DI SOPHEA FERTILITY CENTRE